"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga polis berhibur di Golok ditukar

Bernama

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis yang dikesan melakukan aktiviti salah laku dengan mengunjungi pusat hiburan di Golok, Thailand akan ditukarkan, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata ketiga-tiga anggota yang masing-masing berpangkat sarjan mejar, koperal dan lans koperal berumur 26 hingga 32 tahun itu disiasat oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Razarudin berkata seorang daripada mereka telah ditukarkan daripada Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Pasir Mas ke Kem Komandan IPK Kelantan manakala dua lagi masih bertugas di Ibu Pejabat Polis Tanah Merah dan akan ditukar keluar dari Kontinjen Kelantan.

“Pada 10 Nov lepas, pihak JIPS IPK Kelantan telah menerima beberapa keping gambar dan video berhubung aktiviti salah laku anggota polis yang disyaki mengunjungi dan berhibur di pusat hiburan di Golok menggunakan laluan pangkalan haram, selain dipercayai mempunyai hubungan dengan ceti haram.

“Aktiviti mengunjungi pusat hiburan ini dipercayai berlaku sejak awal tahun ini dan pusat hiburan yang kerap dikunjungi ialah kelab 616, kelab Joker, kelab Alison, kelab Kepak dan kelab Perfect,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata siasatan pihak JIPS IPK Kelantan dalam proses untuk penentuan prosiding oleh Pihak Berkuasa Tatatertib Kelantan.

Tiada ulasan: