"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lolos dari mahkamah, warga Indonesia dipenjara 12 bulan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang warga Indonesia berdepan kes dadah yang meloloskan diri dari Kompleks Mahkamah Alor Gajah bulan lalu, dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap Musliadi Arahman, 39, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Musliadi didakwa melakukan tentangan dan halangan yang menyalahi undang-undang iaitu dengan melepaskan diri daripada jagaan pegawai pengiring Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana dia ditahan secara sah oleh agensi itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada 10.10 pagi, 25 November lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh melarikan diri ketika diiringi pegawai JKDM di perkarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah dengan memanjat pagar.

Susulan itu, operasi mengesan dilakukan oleh polis dan JKDM sebelum menahan tertuduh di kebun durian di Melaka Pindah, kira-kira tiga kilometer dari mahkamah.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, Ishak Mohd Kari memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya nekad melarikan diri untuk pulang ke Acheh, Indonesia untuk melihat isteri dan anaknya yang terbabit kemalangan.

“Tertuduh menyesal atas kesalahan dilakukan yang mana dia juga penanggung tunggal keluarga yang datang ke negara ini untuk mencari nafkah selain ibu bapanya meninggal dunia akibat tsunami,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tiada ulasan: