AZMI NORDIN
PETALING JAYA – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung status perkahwinan ibu bapa bayi lelaki yang ‘disimpan’ dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan berhubung status perkahwinan itu masih dijalankan.
“Dalam proses lagi. Saya akan kemas kini lagi apabila terdapat perkembangan yang lebih substantif.
“Setakat ini lima sudah dirakam keterangan membabitkan ibu bapa bayi itu, dua doktor dan seorang rakan ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis akan memanggil beberapa individu termasuk pihak hospital berhubung isu terbabit selepas ibu bapa bayi itu gagal menjelaskan bayaran bil hospital.
Polis mengesahkan menerima laporan daripada bapa mangsa dan laporan itu diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sedang menjalankan siasatan secara mendalam bagi menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut serta menanganinya sebaik mungkin.
Dalam pada itu, peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili bapa bayi itu, Safwan Roshdy, 22, memaklumkan akan mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menabur fitnah kepada anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.
Kisah bayi dinamakan Adham dan meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan menjadi tumpuan apabila jenazahnya ‘ditahan’ di bilik sejuk beku sebuah hospital swasta selama dua minggu selepas bapanya tidak dapat melunaskan bil hospital.
Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.
Wan Chai memaklumkan, pihaknya menghadapi kesukaran sewaktu menguruskan jenazah bayi berkenaan kerana dalam keadaan beku sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan