ZULKIFLI MANZOR
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa tindakan undang-undang terhadap jenayah rasuah di negara ini masih lemah.
Beliau yang juga Presiden Pas mendakwa, tindakan hanya dikenakan kepada mereka yang menerima rasuah dan dilaksanakan secara terpilih.
“Sepatutnya tindakan kepada ketiga-tiga pihak. Pihak yang beri rasuah, terima rasuah dan orang tengah. Apa yang berlaku tindakan kepada yang terima rasuah, yang sogok dan orang tengah tidak diberi (tindakan)
“Kononnya nak dapat pertolongan, nak jadi saksi,” dakwanya semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Selain itu, Abdul Hadi mendakwa, mungkin terdapat pegawai menjadi kambing hitam kepada pihak atasan dalam kes rasuah kerana tidak berani berterus-terang.
“Beruk-beruk ini selamat. Pegawai jadi kambing hitam kena sembelih. Sebab itu saya meragui orang yang dedahkan nama-nama pegawai ini. Bukan tentera saja, semua jawatan yang didedahkan.
“Mungkin ada beruk-beruk besar. Pegawai ini dipaksa takut kepada beruk, terpaksa kena buat, maka berlakulah tindakan begitu rupa,” dakwanya lagi.
Abdul Hadi Awang turut membangkitkan kegagalan pelaksanaan beberapa projek kerajaan termasuk projek hospital dan perolehan aset pertahanan.
Beliau menggunakan analogi ‘beruk dan kera berebut sebiji pisang’ bagi menggambarkan situasi tersebut dengan mendakwa pihak tertentu mengambil bahagian terbesar daripada peruntukan sebelum projek dilaksanakan.
“Beruk potong pisang berat sebelah, sehingga tinggal kulit, baru kera dapat. Ini yang berlaku, sebab itu projek gagal, projek hospital tidak lulus, senjata tidak sampai dan ada yang terpaksa dibeli secara terpakai,” dakwanya.
Dakwa Abdul Hadi, walaupun bajet diluluskan mencukupi setiap tahun, peruntukan tersebut berkurangan apabila sampai ke peringkat pelaksanaan akibat potongan tidak wajar oleh pihak tertentu.
“Duit habis di tengah jalan. Ada yang ambil 10 peratus, lima peratus di ‘road block’, menyebabkan akhirnya bajet tidak mencukupi. Inu adalah kelemahan yang berlaku,” dakwanya.
Beliau turut mendakwa penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara terpilih apabila individu atau pihak yang menyokong kerajaan tidak dikenakan tindakan, manakala pihak lain berdepan tindakan, manakala pihak lain berdepan tindakan undang-undang. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan