"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS tidak calonkan Hadi Awang sebagai Pengerusi PN

Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: PAS tidak menamakan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, ketika mengesahkan perkara itu berkata, keputusan berkenaan dibuat hasil perbincangan dan persetujuan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

“Maka kami akan mengemukakan calon parti bagi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional. Apa yang boleh saya nyatakan ialah berdasarkan pengesahan mesyuarat-mesyuarat tertinggi PAS, calon tersebut bukan Presiden PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara, hari ini.

Tambahnya, jawatan Pengerusi PN tidak semestinya disandang oleh presiden parti komponen.

Takiyuddin, yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN berkata, perlembagaan gabungan itu tidak mengehadkan jawatan tertinggi kepada peringkat presiden parti.

Sebaliknya, perlembagaan menyatakan pengerusi PN hendaklah dipilih oleh ahli Majlis Tertinggi dan memegang jawatan itu selagi dikehendaki Majlis Tertinggi.

“Tiada satu perkataan pun di sini (dalam perlembagaan parti) yang mengatakan pengerusi PN mesti dipilih dalam kalangan presiden parti komponennya,” tambah beliau.

Pada 30 Disember tahun lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Tiada ulasan: