Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Polis menerima lima laporan berhubung kes empat kanak-kanak didakwa dipukul di sebuah tadika di Saujana Utama, semalam.
Susulan itu, polis menahan dua wanita dipercayai penjaga kanak-kanak di premis berkenaan, hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian dipercayai berlaku pada Julai hingga Ogos lalu membabitkan kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun dan satu rakaman video sebagai bukti turut ditemui.
"Suspek kini direman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001. Seorang lagi individu akan dipanggil untuk diambil keterangan.
"Kejadian itu dipercayai membabitkan empat kanak-kanak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan mereka yang menyebarkan berita palsu berdepan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Siasatan masih dijalankan dan sebarang maklumat berkaitan boleh disalur ke Balai Polis Saujana Utama di talian 03-60382222 dan pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Syahir Abdul Halim di talian 016-3423258," katanya.
Terdahulu, seorang pengguna Thread berkongsi hantaran yang mendakwa mempunyai video anaknya dan anak orang lain disyaki didera di sebuah taska di Saujana Utama dan memaklumkan dia akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan