Ahmad Hasbi
TAMPIN: Padah mengambil gambar bawah kain seorang wanita ketika membeli-belah di sebuah pasar raya di daerah ini, seorang suspek lelaki ditahan polis, petang semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, mangsa yang berusia 34 tahun dikatakan diekori suspek sebelum lelaki berkenaan bertindak mengambil gambar tidak senonoh itu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu ditahan di Kampung Baru Tampin, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
“Kira- kira jam 3.45 petang semalam, satu laporan polis diterima daripada seorang penjawat awam wanita warga tempatan memberitahu dia diekori seorang lelaki yang tidak dikenali.
“Suspek kemudian dipercayai mengambil gambar mangsa dari bahagian bawah kain ketika dia sedang membeli barang di sebuah pasar raya di kawasan Tampin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, bertindak atas maklumat dan siasatan, sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin membuat tangkapan seorang lelaki warga tempatan berumur 26 tahun di kawasan Kampung Baru Tampin bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507a dan 509 Kanun Keseksaan.
“Perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula hari ini sehingga 29 Januari depan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan