"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ditinggalkan 9 jam, kanak-kanak dua tahun maut dalam kereta

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
POLIS melakukan siasatan di lokasi kanak-kanak ditemui maut di dalam kereta di Jalan Tunku Hassan, Seremban. FOTO Ahmad Hasbi.
POLIS melakukan siasatan di lokasi kanak-kanak ditemui maut di dalam kereta di Jalan Tunku Hassan, Seremban. FOTO Ahmad Hasbi.
Seremban: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia di dalam kereta yang diletakkan di belakang sebuah bank dekat Jalan Tunku Hassan, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, mangsa dikatakan ditinggalkan sejak 8 pagi dan hanya disedari pada 5 petang.

"Pihak polis menerima panggilan MERS 999 pada 6.15 petang daripada orang awam memberitahu terdapat seorang kanak-kanak meninggal dunia di dalam kereta.

"Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati mangsa tidak sedarkan diri di dalam Proton Saga putih dan dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu oleh ibunya seawal 8.00 pagi.

"Difahamkan ibu mangsa terlupa untuk menghantar mangsa ke tempat pengasuh. Kejadian hanya disedari ibu mangsa kira-kira 5 petang selepas selesai waktu bekerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Orang awam disarankan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.

Sementara itu, seorang pekerja kedai pakaian berkata, dia bergegas keluar selepas mendengar jeritan seorang wanita di belakang premis berkenaan.

"Saya dan rakan segera melihat apa yang berlaku dan dimaklumkan terdapat kanak-kanak yang tidak sedarkan diri dalam kereta.

"Ada juga yang cakap ibu kanak-kanak itu bekerja di sebuah bank dan dipercayai terlupa anaknya tertinggal di dalam kenderaan," katanya.

Tiada ulasan: