KOSMO

GAMBAR fail 18 Januari 2024 menunjukkan Mackenzie dibawa ke sebuah mahkamah di Mombassa, Kenya. – AFP
NAIROBI – Pemimpin sebuah kultus Kenya yang dituduh meminta pengikutnya berlapar sehingga mati akan didakwa berhubung 52 lagi kematian di sebuah kampung lain, kata pendakwa raya seperti laporan Badan Penyiaran British (BBC) semalam.
Pemimpin yang melantik dirinya sebagai paderi, Paul Mackenzie ditangkap pada tahun 2023 selepas 429 mayat termasuk sebilangan kanak-kanak, ditemukan di dalam beberapa kubur besar di hutan terpencil Shakahola.
Dia yang kini ditahan, dituduh menghasut mangsa terbaru ke arah kematian mereka dengan menulis nota dari sel penjara.
Mackenzie bagaimanapun mengaku tidak bersalah berhubung pertuduhan tersebut.
Pejabat Pengarah Pendakwaan Awam berkata dalam satu kenyataan di laman X semalam bahawa pihaknya mendapat kebenaran untuk mendakwa Paul Nthenge Mackenzie yang merupakan pemimpin kultus Gereja Berita Baik Antarabangsa dan konco-konconya berhubung kematian 52 orang di Kampung Binzaro, Daerah Kilifi.
“Mackenzie disyaki secara munasabah merancang insiden tersebut melalui ajaran radikal yang terkoordinasi untuk mengumpan mangsa ke kampung terpencil,” kata pendakwa raya.
Tahun lepas, polis menemui kira-kira 34 mayat dan lebih 100 anggota badan di Binzaro, kira-kira 30 kilometer dari Hutan Shakahola. Penemuan itu membawa kepada pertuduhan terbaru terhadap Mackenzie.
Perkembangan itu berlaku dua minggu selepas seorang konco Mackenzie yang juga bekas ketua keselamatan di Shakahola, Enos Amanya Ngala mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan kematian 191 kanak-kanak yang ditemui di kubur besar asal.
Mackenzie mengasaskan gereja berkenaan pada tahun 2003 tetapi berkata, dia menutupnya pada tahun 2019. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan