Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Rattanavadee Khomgrajang didenda RM6,000 kerana menyundal dan salah guna pas lawatan. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Ibu tunggal warga Thailand didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencari langganan bagi tujuan persundalan serta melanggar syarat pas lawatan kerja sementara.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Rattanavadee Khomgrajang, 43, yang mengaku bersalah selepas pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan pertama, ibu kepada seorang anak itu didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel di Jalan Abu Bakar, di sini, pada jam 7.10 malam, 21 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melanggar syarat pas lawatan kerja sementara pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang mana tertuduh boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat melakukan serbuan dan pemeriksaan di hotel terbabit.
Ketika serbuan dilakukan, tertuduh didapati bersama seorang pelanggan lelaki dalam sebuah bilik dan hasil siasatan, dia mengaku menerima wang tunai RM250 untuk memberi perkhidmatan seks kepada pelanggannya.
Selain itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya tuala, tiga keping kondom, pelincir, tisu serta wang tunai.
Hasil semakan di Jabatan Imigresen mendapati tertuduh memiliki pas lawatan sosial yang sah sehingga hari ini selain tidak mempunyai permit kerja sah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan