Agensi

PASUKAN penyelamat mencari mangsa tanah runtuh di Desa Pasirlangu, Bandung, Jawa Barat, pada 25 Januari 2026. FOTO AFP
Bandung: Tiga sekeluarga maut selepas ruang tamu rumah mereka di Kampung Pasirkuning, Desa Pairlangu, Kecamatan Cisarua, daerah Bandung Barat, Jawa Barat, runtuh ditimpa tanah runtuh pada Sabtu lalu.
Jenazah suami, isteri dan anak mereka ditemukan dalam keadaan saling berpelukan pada Ahad, mencetuskan kesedihan mendalam bagi ahli keluarga dan penduduk setempat.
Susulan itu, kakak salah seorang mangsa, Ai, 47, menangis sebaik menerima berita berkenaan.
Menurut media tempatan, dia menyaksikan proses menyelamatkan adiknya, Ujang Koswara, 41, bersama isteri Ai Sumarni, 36 dan anak mereka, Nina Haerunisa, 16.
Ai berkata, dia mula bimbang apabila usaha menghubungi adiknya sejak 5 pagi (waktu tempatan) pada hari kejadian, tidak membuahkan hasil.
Setibanya di lokasi, Ai mendapati, rumah adiknya sudah musnah tertimbun tanah.
Difahamkan, rumah Ujang terletak di bahagian paling atas kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh itu.
Rumahnya tidak bergerak jauh seperti rumah lain, tetapi roboh di tempat berkenaan akibat dihentam tanah, pokok dan struktur rumah kaca.
Pada hari pertama pencarian, Ai dan keluarganya belum mempunyai peralatan yang mencukupi untuk membersihkan timbunan tanah akibat tanah runtuh.
Hari kedua pula, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan menemukan petunjuk pertama iaitu sebuah beg tangan sebelum menggali dan ketiga-tiga mangsa ditemukan.
Ketiga-tiga jenazah dibawa ke Pusat Operasi untuk pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (Posko DVI) untuk proses pengecaman sebelum diserahkan kepada keluarga.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Jawa Barat, Pegawai Kanan Polis, Hendra berkata, berdasarkan laporan penduduk, sembilan keluarga berisiko tertimbun di bawah tanah runtuh dan tiga jenazah sudah dikenal pasti serta diserahkan kepada keluarga.
Terkini, media melaporkan, 25 mayat sudah ditemukan setakat hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat, pada Ahad.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, semua mayat diserahkan kepada pasukan DVI Polis Republik Indonesia untuk dikenal pasti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan