Audrey Dermawan
BUTTERWORTH: Seorang lelaki meninggal dunia selepas lebih 24 jam bertarung nyawa ketika menerima rawatan di hospital akibat dipukul seorang lelaki gelandangan di medan selera Kampung Jawa, di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa yang dipercayai berusia dalam lingkungan 60-an dibawa ke Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 2.48 pagi kelmarin selepas mengalami beberapa tulang rusuk patah akibat dipukul suspek.
“Bagaimanapun, mangsa yang juga gelandangan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam semalam ketika menerima rawatan di hospital.
“Bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian adalah penyakit jantung koronari. Mangsa turut disahkan mengalami patah tulang rusuk di bahagian kiri,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki gelandangan berusia dalam lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki didapati positif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan