"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Lelaki maut terperangkap dalam kebakaran ketika ambil kunci untuk alih motosikal

Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
KEADAAN rumah yang musnah terbakar dan mengorbankan Shafie Awang. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah yang musnah terbakar dan mengorbankan Shafie Awang. FOTO Ihsan Bomba
Kuala Nerus: Seorang buruh binaan maut selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Kampung Pak Tuyu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa dikenal pasti sebagai Shafie Awang Abd Rahman, 49, ditemui rentung di bahagian depan rumah pusaka milik keluarganya yang berusia lebih 70 tahun.

Abang mangsa, Mohamad Awang, 56, berkata dia menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam ketika berada di rumahnya di Kampung Batin, Seberang Takir.

Menurutnya, mangsa yang juga duda anak dua tinggal bersendirian di rumah pusaka berkenaan, manakala anak-anaknya menetap bersama bekas isteri.

"Arwah adik bongsu dari tiga beradik dan bekerja sebagai buruh binaan namun kami jarang bertemu kerana kekangan waktu dan tugas masing-masing.

"Kali terakhir saya bertemu arwah pada Oktober tahun lalu dan tidak menyangka arwah maut dalam kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumah pusaka terbabit," ketika ditemui, malam ini.

Mohamad Awang berkata, keluarganya reda dengan kejadian itu dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan selepas proses bedah siasat selesai.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Faizal Mohd Fazil, 30, berkata mangsa dipercayai baru pulang bekerja sebelum menyedari rumahnya terbakar.

Menurutnya, mangsa dikatakan berlari masuk ke dalam rumah untuk mengambil kunci motosikal bagi menyelamatkan kenderaannya yang diletakkan di luar rumah.

"Namun api marak dengan cepat menyebabkan mangsa terperangkap," katanya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menerima panggilan kecemasan pada jam 7.37 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus tiba di lokasi lapan minit kemudian.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Negeri Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman, berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah yang musnah sepenuhnya serta sebuah motosikal jenis LC135 milik mangsa.

"Operasi pemadaman turut dibantu anggota BBP Kuala Terengganu. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.02 malam," katanya yang turut memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Katanya, mayat mangsa ditemukan di bahagian depan rumah sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan: