Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

AIZUL Rohan menunjukkan laporan polis yang di buat oleh Muhammad Hafizuddeain ketika sidang media di Balai Polis Dang Wangi. FOTO Hari Anggara
Kuala Lumpur: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Hafizuddeain Jantan membuat laporan polis ke atas aktivis politik, Chegubard berhubung pendedahan maklumat peribadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Difahamkan Mohammad Hafizuddeain, 58, memasuki IPD berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari bersama dua peguam.
Peguam, Aizul Rohan Anuar ketika ditemui berkata, laporan dibuat berikutan pendedahan butiran peribadi termasuk akaun perbankan milik anak guamnya yang disebarkan pihak Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin.
"Dua laporan polis membabitkan dokumen-dokumen sulit termasuk dan tidak terhad kepada akaun perbankan Tan Sri (Mohammad Hafizuddeain) dan dokumen serta kertas tentera yang sepatutnya sulit.
"Jadi, kita buat laporan hari ini kerana penyata bank adalah dokumen dilindungi mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang mana ia tidak sepatutnya disebarkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya tidak tahu sama ada dokumen itu didedahkan oleh pihak bank sendiri atau mana-mana pihak lain yang terbabit, justeru membuat laporan polis untuk menjalankan siasatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan secara serius bagi mengambil tindakan sivil ke atas pihak bank terbabit namun ketika ini perkara itu belum diputuskan.
"Tindakan sivil kepada dan tidak terhad ke atas Chegubard dan individu yang mengeluarkan kenyataan fitnah termasuk institusi perbankan terbabit.
"Sama ada kami akan ambil tindakan, itu belum diputuskan namun macam saya kata Tan Sri sedang mempertimbangkan tindakan itu secara serius kerana benda ini (pendedahan maklumat peribadi) semua tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan