Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR: Tidak timbul pertembungan antara pemimpin pusat diketuai Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama dipengerusikan Mursyidul Am Hashim Jasin, kata PAS.
Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, menjelaskan majlis itu turut dianggotai pimpinan pusat termasuk Hadi dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, setiap keputusan majlis dibuat secara bersama semua 17 ahli termasuk wakil pimpinan pusat.
“Kalau ditanya mengenai Majlis Syura Ulama, ia melibatkan 17 ahli. Bukan seorang ahli sahaja. Kalau Majlis Syura buat sebarang keputusan, ia mesti masuk dalam mesyuarat dulu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS.
Beliau turut menjelaskan keadaan dalam parti ketika ini kekal harmoni.
Sebelum ini, media melaporkan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Shukri Ramli sebagai menteri besar dan pengguguran keahlian tiga Adun PAS menunjukkan perbezaan pendekatan antara kepimpinan PAS pusat dan mursyidul am.
Dalam isu itu, PAS pusat menekankan naratif pengkhianatan terhadap tiga Adun terbabit, Hashim pula memilih pendekatan perpaduan, sejajar prinsip musyawarah dan keharmonian dalam parti serta Perikatan Nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan