SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang gelandangan warga emas yang dilaporkan maut selepas lebih 24 jam menerima rawatan akibat cedera dipukul di Medan Selera Kampung Jawa, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, suspek berjaya diberkas sepasukan anggota dari Balai Polis Butterworth selepas pihaknya menerima laporan mengenai kematian mangsa dari petugas di Hospital Seberang Jaya (HSJ) kira-kira pukul 7.30 malam, Ahad lalu.
Menurutnya, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut berhubung kejadian berlaku katanya, mangsa berusia lingkungan 60-an dan tidak memiliki sebarang pengenalan diri telah dihantar ke HSJ pada Sabtu lalu kira-kira pukul 2.48 pagi untuk rawatan sebelum disahkan maut.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan penyakit jantung koronari, selain mangsa turut mengalami patah tulang rusuk di bahagian kiri badan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan kes, Asisten Superintenden Hasryman Osman di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya di sini. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan