Haspaizi Zain
PN dijangka menubuhkan majlis presidennya sebagai jalan tengah untuk PAS dan Bersatu, sekali gus membuka ruang untuk Muhyiddin Yassin terus berperanan dalam gabungan terbabit selepas ini.
Perkara itu dinyatakan sumber dalaman Bersatu yang memaklumkan kesepakatan berjaya dicapai dalam pertemuan membabitkan pimpinan tertinggi kedua-dua parti sebelum ini.
"Saya difahamkan dalam pertemuan di antara (Presiden PAS) Hadi Awang, (Timbalan Presiden PAS) Tuan Ibrahim Tuan Man, (Setiausaha Agung PAS) Takiyuddin Hassan, Muhyiddin dan (Setiausaha Agung Bersatu) Azmin Ali, persetujuan dicapai untuk memberi kuasa eksekutif kepada majlis presiden dan tugas pentadbiran kepada majlis eksekutif.
"Muhyiddin akan diberi peranan sebagai Pengerusi Majlis Presiden PN yang akan dibentuk kelak.
“Pemimpin PAS pula akan mengetuai tugas pentadbiran,” kata pemimpin Bersatu itu yang enggan dinamakan.
Bagaimanapun bagi merealisasikan kompromi itu, dakwa sumber Bersatu itu lagi, pindaan perlu dilakukan terhadap Perlembagaan PN.
"Majlis Eksekutif PN akan melaksanakan tugas-tugas pentadbiran dan operasi harian, selain boleh mengangkat cadangan-cadangan sebelum keputusan hanya akan dibuat di peringkat majlis presiden," katanya lagi kepada Malaysiakini.
Sumber terbabit tidak menyatakan secara khusus bila pertemuan didakwanya itu berlaku. Namun media sosial menunjukkan berlangsung pertemuan pemimpin kanan PAS dan Bersatu pada 16 Jan lalu.
Ia diadakan di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Pertemuan yang kelihatan mesra itu berlangsung lebih seminggu selepas Abdul Hadi menulis surat – dan memaparkannya secara terbuka – menggesa PN memanggil mesyuarat tergempar majlis tertinggi bagi membincangkan kedudukan Muhyiddin.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN dan berkuat kuasa pada 1 Jan lalu.
Namun berdasarkan perlembagaan parti terbabit, peletakan jawatan itu mesti disahkan oleh majlis tertingginya.
Setakat ini belum ada sebarang mesyuarat Majlis Tertinggi PN berlangsung di sebalik gesaan dibuat Abdul Hadi.
“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Insya-Allah sepakat membawa berkat,” kata Tuan Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook yang turut mengongsikan gambar pertemuan itu.
Semalam, Malaysiakini melaporkan PAS mengemukakan tiga nama sebagai calon untuk menerajui PN bagi menggantikan Muhyiddin.
Menurut sumber PAS, tiga tokoh yang dikemukakan ialah Tuan Ibrahim, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar; serta Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Bagaimanapun, sumber itu menjelaskan keputusan muktamad terletak di tangan PAS Pusat namun Sanusi secara terbuka telah menolak untuk dicalonkan sebagai pengerusi PN.
Bersatu pula dikatakan memberi tekanan agar hanya presiden parti komponen PN yang layak menjadi pengerusi gabungan itu.
Sementara itu, sumber PAS mengesahkan wujud perbincangan bagi membentuk majlis presiden yang bakal dipimpin Muhyiddin.
"Ya, begitulah perbincangannya, komprominya mungkin begitu, iaitu Muhyiddin ketuai majlis presiden," katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen lanjut daripada pemimpin Bersatu dan PAS mengenai dakwaan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan