"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin tak dijemput hadir mesyuarat PN pilih pengerusi baharu

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak dijemput ke mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu minggu depan bagi melantik pengerusi baharu.

Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, Muhyiddin sepatutnya masih dijemput ke mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jan itu walaupun beliau telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan.

“Muhyiddin masih presiden parti dan sewajarnya hadir dalam mesyuarat itu.”

“Sebagai presiden parti, Muhyiddin secara konvensyen merupakan timbalan pengerusi PN,” katanya kepada FMT.

Menurut surat yang dikeluarkan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, antara wakil Bersatu yang dijemput ke mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Ronald Kiandee.

Pemimpin PN lain yang turut dijemput ialah presiden parti Abdul Hadi Awang (PAS), Dominic Lau (Gerakan) dan P Punithan (MIPP). Hamzah, Hadi, Lau dan Punithan merupakan timbalan pengerusi PN.

FMT telah menghubungi Takiyuddin untuk mendapatkan komen.

Muhyiddin mengumumkan keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN pada 30 Dis.

Pengumuman itu dibuat susulan krisis politik di Perlis. Beliau kemudian berkata bahawa beliau bersedia sepenuhnya untuk menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS, namun Bersatu berpandangan penggantinya mestilah seorang presiden parti.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini menuntut jawatan pengerusi PN bagi pihak partinya, namun dilaporkan menolak untuk memegang jawatan itu sendiri atas faktor kesihatan.

Antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon pengganti Muhyiddin ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga menteri besar Terengganu.

Tiada ulasan: