Pasangan naik SUV Lexus Singapura lari tanpa bayar petrol RM139
KOSMO!

Tangkap layar menunjukkan sebuah SUV mewah milik pasangan dari Singapura yang tidak membayar harga petrol di Johor, semalam.
PETALING JAYA – Seorang pengusaha stesen minyak mengesan satu pasangan yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus dengan nombor pendaftaran Singapura selepas dipercayai melarikan diri tanpa membayar petrol RON97 bernilai RM139.01.
Menurut laporan sebuah portal tempatan, kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Skudai apabila pemandu lelaki SUV tersebut meminta isian penuh petrol menyebabkan pekerja tidak mengambil bayaran.
Ketika petrol sedang diisi, seorang wanita dipercayai penumpang SUV tersebut turun ke kedai serbaneka untuk membeli barangan. Bagaimanapun, sebaik sahaja wanita itu kembali ke kenderaannya, pemandu berkenaan terus beredar tanpa membuat bayaran.
Pekerja stesen minyak yang menyedari kejadian itu cuba mengejar SUV tersebut selain beberapa pengguna jalan raya turut membunyikan hon sebagai amaran, namun kenderaan terbabit tidak berhenti.
Pengusaha stesen minyak itu merayu pasangan berkenaan supaya tampil segera bagi menyelesaikan bayaran kerana kerugian itu berisiko ditanggung pekerja bertugas. – KOSMO! ONLINE.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan