Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

PENGARAH Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh (kanan) menunjukkan gambar tangkapan cubaan menyeludup PATI melalui perairan Selangor pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Selangor, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
Pelabuhan Klang: Pasport dipegang oleh isteri pertama, itu alasan seorang lelaki warga tempatan yang berasal dari Perak menggunakan 'laluan haram' untuk bertemu isteri keduanya yang berada di Medan, Indonesia.
Namun tindakan menggunakan jalan salah dengan menaiki bot fiber itu membawa padah apabila dia antara dua lelaki tempatan yang ditahan bersama 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor dalam operasi khas awal pagi semalam.
Ketika disoal oleh Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh pagi tadi, lelaki berkenaan memberitahu dia pulang ke sana minggu lalu kerana ingin berjumpa dengan isteri keduanya yang hamil lima bulan.
Bagaimanapun lelaki yang berumur 46 tahun itu berkata, isteri pertamanya yang tinggal di Perak tidak mengetahui yang dia sudah berkahwin seorang lagi dan tindakan menggunakan laluan salah bagi mengelakkan rahsianya berkahwin terbongkar.
Abdul Muhaimin berkata, kejayaan pasukannya menahan bot berkenaan hasil maklumat risikan terhadap aktiviti penyeludupan manusia di sekitar perairan Bagan Nahkoda Omar, Sabak Bernam dekat sini.
"Pasukan menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang cuba menyeludup masuk pada jam 12.30 tengah malam di kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Bagan Nahkoda Omar.
"Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh seorang tekong warga Myanmar berusia 36 tahun. Seramai 26 PATI warga Indonesia berada di atas bot itu, terdiri daripada 17 lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan sembilan wanita berumur antara lima hingga 53 tahun.
"Pemeriksaan mendapati, dua lelaki warga tempatan berusia 46 dan 49 tahun turut berada di atas bot berkenaan dan dipercayai pulang ke negara ini melalui laluan yang tidak sah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor, Pelabuhan Utara di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, tangkapan kedua dibuat kira-kira jam 2 pagi semalam membabitkan sebuah bot pom-pom di kedudukan sekitar dua batu nautika barat daya kawasan sama.
"Pemeriksaan mendapati dikendalikan oleh seorang tekong bersama dua awak-awak warga Indonesia berusia antara 22 hingga 32 tahun yang cuba keluar dari perairan negara ini.
"Pemeriksaan lanjut menemui 24 PATI terdiri daripada 19 lelaki dan lima wanita berumur antara 22 hingga 64 tahun, serta seorang bayi perempuan berusia tiga bulan. Bayi perempuan ini dibawa oleh ayahnya," katanya.
Berdasarkan maklumat selepas disoal oleh Abdul Muhaimin bersama pihak media sebentar tadi, lelaki berumur 32 tahun yang berasal dari Acheh itu berkata, dia nekad membawa bayinya selepas ditinggalkan oleh isterinya sejak tujuh hari lalu.
"Saya nekad untuk terus pulang ke Acheh bersama bayi perempuan saya selepas saya ditinggalkan oleh isteri. Isteri meninggalkan nota 'kalau tidak boleh jaga, hantar pada keluarga'. Itu sahaja, saya gagal hubungi isteri sehingga kini, dia sekat nombor telefon saya," katanya kecewa.
Abdul Muhaimin berkata, siasatan mendapati bayaran dikenakan antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang bergantung kepada lokasi penghantaran, jarak jauh atau dekat.
"Siasatan mendapati, semua PATI yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar negara melalui jalan yang tidak diwartakan, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana cubaan membawa masuk PATI.
"Kesemua individu bersama bot yang ditahan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan