'Ainin Wan Salleh
PETALING JAYA: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin tidak dipelawa menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) minggu ini untuk pelantikan pengerusi baharu kerana beliau bukan lagi ahli majlis itu, menurut sumber dalaman PN.
Sumber enggan dinamakan itu berkata, berdasarkan perlembagaan PN, presiden parti komponen tidak diberikan keanggotaan automatik dalam Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.
“Muhyiddin hilang kerusinya dalam majlis itu apabila beliau melepaskan jawatan pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu.
“Tiada peruntukan dalam perlembagaan menyebut presiden parti komponen secara automatik menjadi ahli Majlis Tertinggi,” kata sumber itu kepada FMT.
Mengenai peletakan jawatan Muhyiddin sebagai PN yang hanya berkuat kuasa selepas kelulusan Majlis Tertingginya, sumber itu berkata, ia kini sekadar formaliti.
Jawatan timbalan pengerusi PN bagi Bersatu ketika ini disandang Hamzah Zainudin, yang juga timbalan presiden parti itu.
Merujuk Fasal 9 perlembagaan PN, sumber berkata, parti komponen mempunyai hak menggantikan wakil mereka dalam Majlis Tertinggi gabungan itu dengan mengemukakan notis bertulis kepada setiausaha agung dan penggantian akan berkuat kuasa dari tarikh notis.
Sumber itu berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dijangka bermesyuarat “tidak lama lagi” untuk memutuskan cadangan menggugurkan salah seorang pemimpin mereka daripada Majlis Tertinggi PN bagi memberi laluan kepada Muhyiddin.
Semalam, FMT memetik sumber berkata, Muhyiddin sepatutnya dipelawa ke mesyuarat yang dijadualkan berlangsung 29 Jan ini walaupun sudah melepaskan jawatan pengerusi PN.
Menurut surat dikeluarkan Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, wakil Bersatu yang dijemput ke mesyuarat itu termasuk Hamzah serta Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, yang juga ahli Majlis Tertinggi gabungan itu.
Pemimpin PN lain yang dijemput ialah Timbalan Pengerusi Hadi Awang (PAS), Dominic Lau (Gerakan) dan P Punithan (MIPP).
Wakil Bersatu lain yang kini menganggotai Majlis Tertinggi PN ialah Radzi Jidin, yang juga ketua penerangan gabungan itu, Ketua Wanita PN Mas Ermieyati Samsudin serta Ahmad Faizal Azumu.
Sumber yang mendedahkan mesyuarat MPT Bersatu akan datang turut mempersoalkan sama ada parti itu akan “mengorbankan” seorang pemimpinnya yang menganggotai Majlis Tertinggi PN.
“Adakah ia Hamzah, Kiandee atau Faizal?” soalnya.
FMT sudah menghubungi Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz untuk mengulas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan