"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua ulama PAS Perlis beri ingatan tentang 'politik menjadi kotor'

Malaysiakini 
story-image
Seorang tokoh Perlis yang menjadi antara watak tumpuan dalam isu melibatkan pertukaran penyandang jawatan menteri besar negeri itu hari ini mengingatkan tentang kedudukan politik dalam kehidupan seseorang Muslim

Ahmad Adnan Fadzil berkata setiap manusia hidup di dunia ini "di bawah susunan takdir" dan ia tidak boleh disanggah sama sekali.

Mengingatkan pentingnya memahami hukum sebab dan akibat serta bertawakal, Ahmad Adnan berkata, setiap sesuatu itu berlaku atas ketentuan dan kehendak Allah.

Justeru, katanya, seseorang manusia tidak boleh sama sekali berasa kecewa apabila mendapati jalan di hadapannya dilihat tertutup kerana masih ada laluan lain yang boleh diikktiarkan.

"Manusia bukan penentu untung nasib kita. Mereka juga seperti kita, tertakluk kepada takdir dan ketetapan yang sama.

"Yakinlah bahawa yang benar pasti menang akhirnya, dan yang batil pasti tewas. Maka carilah kebenaran, laksanakan ia, dan perjuangkannya dengan istiqamah," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Ahmad Adnan merupakan Ketua Dewan Ulama PAS Perlis yang akhir-akhir ini dianggap menjadi antara punca kepada hilangnya salah satu kerusi menteri besar yang dimiliki parti tersebut.

Pergolakan politik di Perlis menyaksikan ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli, terpaksa berundur daripada jawatan Menteri Besar Perlis apabila tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti dewan undangan negeri terbabit.

Tiada sesiapa kalis kritik

Seramai lapan daripada Adun negeri itu menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyatakan mereka tidak lagi menyokong Mohd Shukri sebagai menteri besar. Tiga daripada mereka merupakan Adun PAS.

PAS kemudian memberhentikan keanggota ketiga-tiga Adun terbabit. PAS menganggap insiden itu berlaku atas faktor pengkhianatan. Bagaimanapun Ahmad Adnan bertegas menafikan dakwaan tersebut.

Sebaliknya Ahmad Adnan memberitahu krisis yang melanda Perlis berpunca daripada kegagalan "pihak tertentu" berperanan serta menjalankan tanggungjawab mereka sewajarnya sebelum ketegangan memuncak.

Malah Ahmad Adnan menganggap ketiga-tiga Adun yang diberhentikan keahlian oleh PAS itu sebagai anggota parti yang setia.

Turut bersikap lembut ke atas Adun terbabit ialah Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Tempat Mohd Shukri kemudian diganti oleh Pengerusi Bersatu Perlis merangkap Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Beberapa hari lalu Ahmad Adnan kembali menjadi sorotan dan sindirian kerana hadir dalam pertemuan di antara Hashim dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, di rumah pemimpin tertinggi PAS terbabit di Perlis.

Menyertai pertemuan berkenaan ialah ketiga-tiga Adun yang disingkirkan oleh PAS.

Menurut Ahmad Adnan, tiada mana-mana pihak yang boleh dianggap suci serta wajib dipertahankan sehingga tidak langsung boleh dikritik, kecuali jika ia melibatkan aspek akidah dan agama.

"Jangan mengangkat wasilah (wadah atau perantara untuk mendekatkan diri kepada sesuatu) menjadi matlamat.

"Politik misalnya hanyalah wasilah. Namun apabila manusia menjadikannya matlamat, mereka mula menindas orang lain kerana jawatan dan kuasa, dan ketika itu politik menjadi kotor," katanya.

Tiada ulasan: