Bernama-Anadolu
Dhaka: Bangladesh mengarahkan penutupan semua institusi pendidikan di seluruh negara sebagai langkah kecemasan bagi menjimatkan bahan api dan elektrik. Langkah ini diambil susulan krisis tenaga global yang semakin meruncing akibat ketegangan membabitkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran.
Keputusan ini membabitkan universiti awam serta swasta, sekolah aliran Inggeris, dan pusat tuisyen yang diarah menghentikan semua aktiviti akademik bermula Isnin, lapor agensi berita Anadolu.
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan mengurangkan penggunaan elektrik dan menjimatkan bahan api pengangkutan memandangkan pasaran minyak dunia yang tidak menentu.
Menerusi arahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pihak universiti diminta memulakan cuti Aidilfitri lebih awal daripada jadual asal, sekali gus menutup kampus di seluruh negara. Arahan ini selaras dengan ketetapan Kabinet dalam usaha mengekang permintaan tenaga bagi beberapa sektor.
Pegawai kerajaan memaklumkan bahawa penutupan sementara ini akan membantu merendahkan beban elektrik di bilik kuliah, makmal, asrama, dan bangunan pentadbiran. Selain itu, ia mengurangkan penggunaan bahan api bagi perjalanan pelajar, guru, serta kakitangan.
"Keputusan ini diambil bagi mengurangkan penggunaan elektrik dan bahan api dengan mengambil kira situasi global semasa," jelas kementerian menerusi arahan yang diedarkan kepada pihak pengurusan universiti.
Sekolah aliran Inggeris dan pusat tuisyen di seluruh Bangladesh turut diarahkan tutup mulai Isnin. Pihak berkuasa percaya penggantungan aktiviti akademik sepanjang tempoh ini akan mengurangkan permintaan tenaga harian secara signifikan, terutama di kawasan bandar yang mana institusi pendidikan menjadi pengguna utama elektrik pada waktu siang.
Tindakan ini menyusul ketika Bangladesh berdepan tekanan hebat terhadap rantaian bekalan tenaganya ekoran gangguan pasaran bahan api global berkaitan konflik di Timur Tengah. Pihak berkuasa menegaskan bahawa langkah penjimatan ini sangat penting bagi memastikan kestabilan penjanaan kuasa dan kelangsungan perkhidmatan asas.
Selain penutupan ini, kerajaan turut mengeluarkan garis panduan bagi menggalakkan institusi dan pejabat menggunakan elektrik dengan lebih cekap, termasuk mengoptimumkan cahaya semula jadi serta meminimumkan penggunaan lampu dan kuasa yang tidak diperlukan.
Penganalisis tenaga berpendapat langkah kawalan permintaan sebegini mampu memberi kelegaan jangka pendek kepada sektor kuasa sementara pihak berkuasa berusaha menstabilkan import bahan api serta menguruskan pengagihan.
Bagaimanapun, mereka memberi amaran bahawa gangguan kalendar akademik yang berpanjangan boleh memberi cabaran kepada pelajar sekiranya krisis tenaga ini berlarutan.
Setakat ini, pihak berkuasa tidak menyatakan tempoh penutupan institusi ini, namun sesi akademik dijangka kembali normal selepas cuti Aidilfitri sekiranya keadaan bekalan tenaga bertambah baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan