Amirul Aiman Hamsuddin
SHAH ALAM: Dua lelaki berpura-pura sesat sambil bertanyakan jalan sebelum menyamun seorang kontraktor di sebuah kebun kelapa sawit di Bukit Perah, dekat Banting, Kuala Langat, semalam.
Kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia lingkungan 50-an didekati dua suspek yang ketika itu berjalan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, selepas berpura-pura bertanyakan jalan, salah seorang mengeluarkan sebilah parang dan mengikat tangan serta kaki pengadu.
“Suspek juga menendang muka mangsa hingga mengakibatkan bibirnya pecah, sebelum melarikan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik mangsa bersama telefon bimbit, barang peribadi termasuk dokumen penting dan wang tunai RM9,500,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis jam 10.15 pagi sebelum siasatan dan risikan menemukan kenderaan dilarikan dalam tempoh sejam, ditinggalkan di tepi Jalan Prima Puchong.
“Sehingga kini, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan