Agensi
Tehran: Iran didakwa sedang melancarkan perang ke atas Amerika Syarikat dan Israel serta sekutu Teluk dengan diketuai oleh pemimpin yang sedang koma, menurut pendedahan hari ini.
Mojtaba Khamenei dilantik sebagai pemimpin agung yang baharu oleh Mullah negara itu walau dalam keadaan cedera parah akibat serangan udara.
Sumber memberitahu The Sun bahawa anak lelaki Ayatollah Ali Khamenei yang berusia 56 tahun itu kehilangan sekurang-kurangnya sebelah kaki dan turut mengalami kerosakan perut atau hati yang serius.
Tidak jelas sama ada beliau cedera pada hari yang sama bapanya yang berusia 86 tahun meninggal dunia pada 28 Februari lalu, namun beliau didakwa tidak mengarah strategi perang yang sedang mencetuskan pergolakan pasaran tenaga dunia.
Sumber The Sun di ibu negara Iran, Tehran hari ini menyeludup keluar maklumat sulit mengenai keadaan, rawatan, lokasi dan keselamatan pemimpin baharu itu.
Beliau kini dikatakan berada di bawah rawatan rapi di Hospital Universiti Sina di kawasan bersejarah bandar itu selepas sebahagian bangunan ditutup rapat dan dikelilingi oleh kawalan keselamatan yang ketat.
Sumber itu yang enggan didedahkan demi keselamatan, berjaya mengelak gangguan internet Iran yang hampir berkuat kuasa sepenuhnya untuk menghantar mesej kepada seorang pembangkang dalam buangan yang berpangkalan di London.
Sumber itu yang bukan ahli perubatan tetapi mengenali pasukan trauma hospital memberitahu bahawa Mojtaba berada dalam keadaan 'sangat serius (kritikal)' di bawah jagaan Mohammad Reza Zafargjani.
Zafargjani ialah Menteri Kesihatan, Rawatan dan Pendidikan Perubatan Iran tetapi juga salah seorang pakar bedah trauma terkemuka di negara itu.
Sumber The Sun berkata dalam mesejnya, "Satu atau dua kakinya telah dipotong. Hati atau perutnya juga telah pecah. Dia nampaknya juga koma."
The Sun memaklumkan amat mustahil untuk mengesahkan pendedahan terperinci sumbernya di bawah gangguan internet Iran, tetapi status Mojtaba dalam kalangan ribuan mangsa perang Iran telah disahkan.
TV kerajaan Iran kini secara terbuka merujuk kepada pengganti senyap ayatollah sebagai 'Jaanbaz Ramadan' - veteran perang yang cedera.
Sumber media sosial Iran menambah butiran lanjut apabila keadaan kritikal Mojtaba didedahkan buat kali pertama hari ini.
Pakar bedah veteran Zafargjani dikatakan telah dibantu oleh Dr Mohammad Marashi, seorang pakar bedah kanan di Universiti Sains Perubatan Shahid Beheshti.
Marashi ialah abang kepada isteri bekas Presiden Akbar Hashemi Rafsanjani dan seorang lagi tokoh dipercayai yang rapat dengan kerajaan itu.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian juga dilaporkan telah melawat Hospital Sina dua hari lalu ditemani oleh Dr Zafarghandi, malah spekulasi menyusul bahawa Pezeshkian secara rahsia melawat Mojtaba dan diberi taklimat sepenuhnya mengenai keadaannya.
Keselamatan di hospital dikatakan sangat ketat, dengan akses ke unit rawatan rapi hanya terhad kepada segelintir individu yang dibenarkan.
Sumber lain melaporkan bahawa Mojtada sama sekali tidak menyedari perang yang sedang berlangsung, kematian ahli keluarga termasuk isteri dan anak lelakinya dan juga pemilihannya sendiri sebagai Pemimpin Agung.
Pemimpin Agung Ali Khamenei telah meletakkan jentera perang negaranya secara automatik sebelum beliau terkorban dalam tindakan pertama Operasi Epic Fury.
Anak lelakinya yang berbaju hitam, Mojtaba, 56, menggantikannya lima hari lalu tetapi tidak pernah memberi ucapan awam dan berdiam diri di tengah-tengah khabar angin bahawa beliau sudah meninggal dunia.
Orang dalam Iran memberitahu The Sun bahawa perang yang berlaku adalah rancangan besar bapanya, dan tentera yang melancarkan dron dan peluru berpandu telah bersedia untuk terus berjuang diketuai oleh 'hantu'.
Sehingga malam ini, nasib Mojtaba yang kehilangan isterinya, Zahra; anak lelaki yang berusia lapan tahun, Bagher; serta ibu dan kakaknya dalam letupan yang turut mengorbankan bapanya masih tidak jelas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan