Agensi

LOKASI kemalangan membabitkan Jason Hughes akibat gurauan melampau pelajarnya. FOTO Agensi.
Washington: Gurauan tisu tandas dilakukan seorang remaja terhadap guru lelakinya berakhir tragedi menyayat hati apabila guru terbabit maut dilanggar kenderaan dinaiki pelajar berkenaan, minggu lalu.
Pelajar itu, Jayden Ryan Wallace bersama empat rakannya sedang melakukan gurauan terhadap guru mereka, Jason Hughes sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.
Remaja lelaki berusia 18 tahun itu melanggar Hughes, 40, dengan kenderaan miliknya.
Menurut laporan 11alive, Wallace ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira 11.40 malam, polis menerima panggilan mengenai kejadian sekumpulan pelajar menabur kertas tandas di halaman rumah Hughes.
Apabila guru itu keluar untuk mengejar mereka, pelajar terbabit masuk ke dalam kenderaan dan memandu untuk meninggalkan lokasi.
Malangnya, Mr Hughes tersungkur di atas jalan ketika mengejar dan dilanggar oleh kenderaan dipandu Wallace.
Kesemua pelajar segera keluar dari kenderaan dan memberi bantuan kecemasan kepada guru terbabit sebelum pasukan kecemasan tiba di lokasi.
Bagaimanapun, Hughes disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya di hospital tempatan.
Wallace kini didakwa dengan pembunuhan tanpa sengaja menggunakan kenderaan, memandu secara melulu, pencerobohan jenayah dan membuang sampah di kawasan persendirian.
Empat rakannya pula didakwa dengan kesalahan kecil.
Keluarga mangsa mengenali semua pelajar terbabit dan menasihati pihak berkuasa untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap mereka.
Isteri Hughes iaitu Laura menjelaskan keadaan di sebalik kemalangan kepada media dan menasihati pihak berkuasa untuk mempertimbangkan semula pertuduhan terhadap pelajar itu.
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan