"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cabul pelajar, Lelaki dijatuhi hukuman penjara 6 tahun, 2 sebatan

Alias Abd Rani
Mohd Nazri dipenjara enam dan sebatan kerana cabul pelajar perempuan di Segamat enam tahun lalu. – Foto NSTP
MUAR: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman, dipenjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan enam tahun lalu.

Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Nazri Mohd Jani, 41, selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah dan rayuan dibuat selain faktor hujahan daripada pihak pendakwaan.

Selain hukuman itu, mahkamah turut memerintah tertuduh yang bekerja kebun menjalani sesi kaunseling, sepanjang dalam tahanan serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa berusia 15 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Segamat pada jam 11 pagi, 19 Disember 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh ke rumah mangsa untuk menghantar makanan.

Secara kebetulan ketika itu, mangsa berseorangan di rumah dan tertuduh datang dari arah belakang lalu memeluknya.

Bukan itu sahaja, malah tertuduh juga mengheret mangsa masuk ke dalam, namun mangsa terjatuh di hadapan bilik.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Aman, Segamat.

Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis menahan tertuduh di sebuah pondok dalam ladang sawit di Palong Timur, Segamat 10 hari selepas kejadian bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Tiada ulasan: