"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjara 10 bulan, denda RM50,000 muat naik komen hina Islam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dipenjara 10 bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Miri selepas didapati bersalah memuat naik komen bersifat jelik serta menyinggung sensitiviti agama Islam berhubung pemergian bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

John Mule anak Alai, 48, dijatuhkan hukuman berkenaan selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tertuduh didakwa menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar dengan memuat naik komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

Mengikut fakta kes, John yang merupakan pentadbir akaun Facebook ‘Bat Tuo Sai’ memuat naik komen menghina dan mencerca ayat suci al-Quran serta Abdullah pada ruangan komen satu hantaran Facebook Astro Awani.

Hantaran itu berkaitan laporan berita mengenai pemergian bekas perdana menteri kelima tersebut.

Tindakan tertuduh itu kemudian dikesan pihak berkuasa sebelum siasatan dijalankan.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam kenyataan berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama atau mencetuskan kebencian.

Menurutnya, tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“SKMM mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

“Sebarang kandungan yang menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut SKMM.

Tiada ulasan: