Harapandaily
Seorang pemimpin Pemuda Pas Teluk Intan diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 selepas kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi DUN Changkat Jong dari DAP, Badrul Hisham Badarudin.
Badrul Hisham memaklumkan mahkamah memutuskan beliau menang dalam kes saman terhadap Nurhafizul Badrul Hisham, yang juga Pengarah Strategi Pemuda Pas Perak, selepas melalui proses perundangan yang panjang.
Menurutnya, mahkamah memerintahkan defendan membayar jumlah ganti rugi keseluruhan RM250,000, meliputi RM100,000 ganti rugi am, RM100,000 ganti rugi teladan serta RM50,000 ganti rugi teruk susulan fitnah yang didakwa dilemparkan terhadapnya sebelum ini.
“Keputusan ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi merupakan satu peringatan bahawa fitnah, tohmahan dan penyebaran maklumat tidak benar tidak boleh dijadikan budaya dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa persaingan politik sepatutnya berlaku secara sihat walaupun terdapat perbezaan pandangan, tanpa mengorbankan maruah, kebenaran dan integriti demi kepentingan politik sempit, politik kebencian dan politik perkauman.
“Saya berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, terutamanya di ruang awam dan media sosial.
“Bagi pihak saya, perjuangan untuk membawa perubahan dan berkhidmat kepada masyarakat akan tetap diteruskan seperti biasa.
“Kebenaran mungkin lambat, tetapi akhirnya ia tetap akan tertegak. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan sepanjang proses ini,” kata Badrul Hisham lagi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan