"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Tiga ditahan melombong emas haram, 3 lagi menyamar pihak berkuasa

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Keterujaan tiga lelaki melombong emas secara haram di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang membawa padah apabila dikesan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8).

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan di kawasan ladang getah kira-kira 6 petang kelmarin, yang mana kesemua suspek dilihat melombong emas menggunakan jengkaut dan palong.

Katanya, suspek berusia 23 tahun himgga 38 tahun itu gagal membuktikan lesen melombong emas yang membawa kepada penahanan dan sitaan semua alatan digunakan termasuk jentera bernilai keseluruhan RM 541,900.

"Siasatan awal mendapati aktiviti perlombongan di kawasan itu baru beroperasi kira-kira seminggu lalu dan anggaran hasil emas berjaya dikutip antara lima hingga tujuh gram (g) sehari.

"Semua suspek dibawa ke Balai Polis Bertam, Gua Musang dan disiasat mengikut Seksyen 137(1)(B) Enakmen Mineral 2001," katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Radzi berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai pihak berkuasa, selain merampas sepucuk pistol jenis bersama tali pengikat di Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat, Ahad lalu.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kereta dinaiki suspek menemui beberapa barangan berkaitan penyamaran sebagai pihak berkuasa.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 89 Akta Polis 1967, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 7(1) Akta bahan hakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) dan 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes berjaya dibanteras menerusi pelaksanaan Op Taring Wawasan Kelantan dan Op Bersepadu Khazanah.

Tiada ulasan: