Minderjeet Kaur
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Selayang memutuskan Yayasan Kubra tidak boleh meneruskan kerja merobohkan sebuah kuil Hindu di Rawang sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.
Majistret Chai Guan Hock berkata mahkamah mendapati wujud pertikaian berhubung status tanah berkenaan.
Beliau berkata kuil itu telah berada di lokasi tersebut sejak 1995, manakala pemilik tanah semasa hanya memiliki tanah itu sejak 2021.
“Mahkamah turut mengambil kira isu di tapak itu boleh menimbulkan ketegangan awam jika keadaan tidak dikawal dengan baik,” katanya.
Chai berkata pihak pengurusan kuil dan Yayasan Kubra perlu mengemukakan kenyataan bertulis serta dokumen sokongan sebelum mahkamah menentukan pemilik sebenar tapak itu.
“Mahkamah akan meneliti dokumen daripada kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan,” katanya.
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal, yang mewakili pengurusan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran, berkata keputusan majistret itu bermakna status quo di tapak berkenaan perlu dikekalkan buat masa ini.
Rajesh berkata jawatankuasa kuil tidak mempertikaikan tanah itu dimiliki Yayasan Kubra, namun membantah cara sebahagian kuil tersebut dirobohkan, yang menurutnya dilakukan secara tidak sah.
“Jika sebuah kuil hendak dipindahkan atau diusir, pihak terlibat perlu mendapatkan perintah mahkamah yang sah terlebih dahulu.
“Tidak boleh datang pada tengah malam dengan jentera dan merobohkan rumah ibadat. Itu tidak boleh diterima,” katanya.
Rajesh berkata polis turut ditempatkan di lokasi kejadian bulan lalu bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, yang menurutnya menunjukkan risiko ketegangan boleh meningkat.
Chai menetapkan 5 Jun untuk inkuiri.
Pada 27 Feb, jawatankuasa kuil memfailkan saman bagi menghalang sebarang tindakan yang boleh mencetuskan gangguan ketenteraman sementara menunggu perintah pengusiran daripada Mahkamah Tinggi.
Saman itu difailkan di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Rajesh sebelum ini berkata tindakan undang-undang itu diambil bagi melindungi kepentingan kuil daripada tindakan pemilik tanah dan pihak ketiga yang didakwa merobohkan kuil secara tidak sah.
Pada 11 Feb, polis menahan empat lelaki yang didakwa cuba merobohkan kuil itu.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata siasatan mendapati mereka telah merobohkan sebahagian kuil Hindu itu tanpa berbincang dengan pengurusan kuil atau memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan.
Keempat-empat mereka kemudian dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan