Malaysiakini
Ahli perniagaan, Albert Tei, yang mendedahkan skandal perlombongan Sabah, mendedahkan kepada media dua imej yang didakwa menunjukkan pegawai SPRM bersenjata di kediamannya semasa penahanannya pada November lalu.
Imej yang serupa itu menunjukkan dua individu memakai pakaian taktikal dan sarung muka (balaclava) berdiri di tangga, dengan salah seorang daripada mereka kelihatan memegang sesuatu.
Tidak jelas objek apa yang dipegang, namun cari diri dan postur individu tersebut menyerupai posisi seseorang yang sedang memegang dan mengacu pistol.
Salah satu imej disertakan dengan kapsyen yang menyifatkannya sebagai 'Rumah Albert Tei' pada jam 10 pagi, 28 Nov 2025, serta tiga label bertulis "dua orang SPRM", "anjing", dan "SPRM acu pistol".
Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen badan antirasuah itu.
Tei percaya imej tersebut mengukuhkan dakwaannya bahawa pegawai SPRM bertopeng mengacukan pistol ke arahnya, isteri, ibu mertua, dan pembantu rumah mereka semasa penahanan pada 28 Nov.
Dia berkata imej itu jelas menyerupai susun atur rumah berkembar miliknya di Puchong.
Menurut Tei, imej tersebut dihantar kepadanya pada 9 Mac melalui WhatsApp oleh individu tidak dikenali menggunakan nombor telefon bimbit yang didaftarkan di Kemboja.
"Saya tanya beberapa kali siapa pengirimnya, bagaimana dia dapat dua imej itu, dan sama ada dia pegawai SPRM, tetapi saya tidak terima sebarang jawapan.
"Saya cam dan sahkan lokasi yang ditunjukkan dalam dua imej itu adalah halaman tepi rumah saya dan anjing German Shepherd saya," tambahnya.
Semalam, ahli perniagaan itu memberitahu Malaysiakini bahawa dia membuat laporan polis mengenai imej berkenaan, dan berkata dia syak gambar itu dirakam daripada rakaman video.
Tei percaya rakaman itu mungkin berasal daripada kamera badan yang dipakai oleh anggota pasukan serbuan.
Dia juga mengulangi tuntutannya supaya SPRM mendedahkan semua rakaman video daripada kamera badan pegawai SPRM yang menyerbu rumahnya.
Susulan penahanannya, Tei mendakwa pegawai SPRM bertopeng mengacukan pistol ke arahnya, isteri, ibu mertua, dan pembantu rumah mereka. Isterinya kemudian membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki kemudian menafikan senjata api diacukan ke kepala Tei semasa penahanannya, dan suruhanjaya itu membuat laporan polis terhadap "fitnah" berkenaan.
Polis memulakan siasatan sejak itu, namun Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar memberitahu media pada Disember bahawa mereka belum menemui sebarang bukti SPRM mengacu pistol ke arah ahli perniagaan Tei dan isterinya.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan