"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya 'menganjing’ - Aktivis akui permohonan jadi ahli PKR sekadar gurauan

Malaysiakini 

Aktivis kontroversi yang menyasarkan kuil haram di tanah persendirian, mengakui bahawa dia hanya sekadar "troll" (menganjing) PKR dan penyokongnya dengan mendaftar untuk menyertai parti itu.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Tamim Dahri Abdul Razak berkata tindakannya mengumumkan hasrat menyertai PKR hanyalah gurauan semata-mata.

"Benda gurau bila kena terangkan jadi tak best. Yelah, nanti aku hantar borang PAS pulak. Ok tak pembaris?" hantar Tamim.

Istilah "pembaris" sering digunakan bagi menyifatkan seseorang yang terlalu lurus atau serius sehingga tidak mampu menerima gurauan — merujuk kepada sifat alat pengukur tersebut yang lurus secara fizikal.

Pada 5 Mac, Tamim memuat naik dua hantaran di Facebook — satu menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR dan meminta borang pendaftaran ahli, dan satu lagi menunjukkan permohonan dalam talian yang lengkap serta sedang menunggu kelulusan.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata semalam bahawa permohonan Tamim diterima pada 5 Mac dan beberapa prosedur perlu dipatuhi.

"Permohonannya masih baharu dan memerlukan tapisan. Beberapa prosedur mesti diselesaikan selepas dia menghantar borang sebelum dia boleh menjadi ahli penuh," katanya kepada media.

Pada 11 Februari, Tamim yang berada di barisan hadapan kempen menentang kuil tanpa kebenaran, telah ditangkap selepas meruntuhkan sebuah kuil di Rawang.

Tamim ditangkap hanya beberapa hari sebelumnya, bersama pendakwah Zamri Vinoth dan beberapa yang lain, apabila mereka hadir untuk satu perhimpunan yang dirancang pada 7 Februari bagi menentang apa yang disifatkan sebagai rumah ibadat haram.

Mereka direman selama dua hari sebelum dibebaskan.

Zamri sementara itu mengikut jejak langkah tersebut dengan mengumumkan hasratnya untuk menyertai DAP pada 6 Mac.

Bagaimanapun, hantarannya dilaporkan telah diturunkan hari ini berikutan beberapa aduan.

"Aik, umum nak mohon jadi ahli DAP pun kena report! Haha Jangan ingat korang boleh halang aku join DAP! Koyak nampak! Post kuil haram dari zaman dinasor pun hampa angkut, post pasal nak berhimpun pun hampa angkut! Deyyyy. @£@^#&-£!&@^!£!"

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Chua Wei Kiat berkata PKR sepatutnya menolak permohonan Tamim, atau ia berisiko menghantar mesej yang salah kepada orang ramai bahawa PKR "mengalu-alukan pelampau" dalam menangani isu melibatkan agama.

"Rakyat memberi peluang kepada PKR pada 8 Mac 2008, untuk melonjak dari satu kerusi pada tahun 2004 kepada 31 kerusi parlimen, selain lima kerajaan negeri bersama rakan sekutu.

“Sepanjang 18 tahun lalu, kita bekerja keras untuk meyakinkan pengundi bahawa kita tidak berganjak dari garis politik ini,” kata Chua.

Dia berkata meskipun berdepan situasi itu, PKR sentiasa memilih jalan tengah, berusaha untuk mendamaikan semua pihak yang berkonflik dalam semangat persaudaraan sejagat.

“Tiada sentimen kaum dan agama sempit dibenarkan. Yang ada, semangat persaudaraan sesama manusia yang berlandaskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kepelbagaian.

“Andainya PKR tidak berganjak dari prinsip ini ketika kita menjadi pembangkang, apa alasannya kita mengkhianati idealisme ini ketika kita berkuasa?” katanya lagi.

Tiada ulasan: