"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Annuar Musa gesa hidupkan semula pakatan Umno-PAS bawah panji MN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin kanan PAS Annuar Musa menggesa Umno dan PAS supaya menghidupkan semula kerjasama di bawah panji Muafakat Nasional (MN), menyifatkan perpaduan Melayu-Islam sebagai satu perkara mudah yang boleh dicapai tanpa sebarang susunan politik lain, termasuk inisiatif ‘Rumah Bangsa’ cetusan Umno.

Bekas veteran Umno yang menyertai PAS pada Jun 2023 itu berkata, kedua-dua parti harus bertemu terlebih dahulu untuk mengenal pasti titik persamaan.

“Isu perpaduan (ummah) adalah isu yang ‘straight forward’.Tak usah rumitkan dengan mereka-reka itu dan ini. Semua itu formula untuk gagal,” katanya.

Mendakwa majoriti orang Melayu kini sudahpun ‘bersatu bersama PAS dan Perikatan Nasional (PN)’, Annuar berkata, PAS masih menuntut perpaduan yang lebih meluas bersama Umno, namun tanpa penglibatan DAP dan PKR.

“PAS mahu paksi politik bertunjangkan muafakat Umno, PAS, bukan Umno, DAP, PKR … itu saja. Mudah. Tak perlu berpolemik, rumah itu, rumah ini.

“Yang perlu ialah muafakat Melayu Islaam didahulukan, dan yang lain (yang tidak ekstrem) tidak dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan perdebatan mengenai inisiatif ‘Rumah Bangsa’ Umno, yang bertujuan menghimpunkan parti-parti politik untuk membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu, Bumiputera dan agama Islam.

Terdahulu hari ini, Presiden PAS Hadi Awang menolak inisiatif tersebut, menyatakan bahawa ia berteraskan nasionalisme, bukannya Islam.

MN dibentuk oleh PAS dan Umno pada September 2019 untuk menyatukan undi Melayu-Islam, namun tidak bertahan lama.

Bagaimanapun, PAS memutuskan untuk bekerjasama dengan Bersatu bagi membentuk PN susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada 2020, tindakan yang disifatkan oleh Umno sebagai pengkhianatan.

PAS juga bertegas mahu membawa masuk Bersatu ke dalam MN, cadangan yang ditentang oleh Umno. Pakatan itu akhirnya terkubur pada Disember 2022 apabila Umno seterusnya menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Tiada ulasan: