Haspaizi Zain
PAS Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan siapa yang wajar dilantik sebagai Pengerusi PN negeri itu bagi menggantikan Mohamed Azmin Ali yang meletak jawatan hujung tahun lalu.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri, berkata pihaknya tidak mengemukakan sebarang nama bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
"Kita serah pada pusat tentukan. Pemilihan (Pengerusi PN Selangor) di peringkat pusat (tentukan) bukan negeri.
"Tak ada nama (dicadangka. Lantikan (dibuat) atas mesyuarat PN Pusat dan kita ikut sahaja," katanya ketika sesi bersama media pada majlis berbuka puasa PAS Selangor di Shah Alam, malam tadi.
Ditanya mengenai Pemuda PAS Selangor yang mencalonkannya menggantikan Azmin, Adun Paya Jaras itu malah enggan membesarkan cadangan tersebut.
"Itu pandangan peribadi bukan pandangan PAS Selangor. Bukan pandangan rasmi, Cuma pandangan peribadi dia (pemuda)," katanya lagi.
Pada 30 Dis 2025, Azmin mengumumkan peletakan jawatannnya sebagai Setiausaha Agung PN serta Pengerusi PN Selangor selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu.
“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.
“Maka saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN bermula 1 Januari 2026,” katanya.
Sementara itu Halim turut ditanya mengenai sikap PAS yang dilihat lebih mesra kepada Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berbanding Bersatu.
Katanya, PAS mengambil pendirian tidak memihak kepada mana-mana kem dalam Bersatu malah mereka mereka tidak mempunyai masalah dengan Adun Bersatu di Selangor.
"PAS ambil pendekatan sama. PAS tak memihak kepada mana-mana (kumpulan). Saya di Selangor tak ada masalah, dengan Bersatu sangat rapat tak ada masalah.
"Tempat lain saya tak boleh komen, di Selangor tak ada apa-apa masalah. Dalam PAS tak ambil (sokong) mana-mana kem," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan