"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut terjun bangunan elak serbuan polis

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat tiga kediaman ketika cuba melarikan diri semasa serbuan polis di sebuah unit kediaman di Jalan Gombak, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 9.07 malam.

Beliau berkata, ketika kejadian sepasukan polis sedang menjalankan serbuan di kediaman berkenaan berhubung kes kecurian motosikal.

"Semasa serbuan dijalankan, dua suspek cuba melarikan diri dengan bertindak terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

"Seorang daripadanya, lelaki tempatan berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi terselamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam operasi sama polis turut menahan 12 individu yang terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak berusia antara tiga hingga 42 tahun.

Katanya, kesemua yang ditahan adalah warga tempatan kecuali dua daripadanya warga Indonesia.

"Polis turut merampas dua motosikal dipercayai motosikal curi selain beberapa jenis dadah di kediaman terbabit.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Tiada ulasan: