"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja warga asing direman, bantu siasatan kes bunuh wanita

Mary Victoria Dass

JOHOR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh wanita warga asing yang ditemui dengan 14 kesan tikaman di sebuah bilik hotel di Taman Maju Jaya di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek yang ditahan adalah warga asing berusia 19 tahun.

Beliau berkata, suspek diberkas dalam tempoh 24 jam selepas kejadian berlaku.

“Susulan kejadian bunuh seorang wanita warga asing berusia 37 tahun, pada jam 8 malam tadi, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan suspek di sebuah kondominium di bandar raya ini.

“Turut dirampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian seperti sehelai baju t, sehelai seluar jeans, topi berwarna hitam, sepasang kasut getah, cakera keras pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) dan dua telefon bimbit.

“Semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga negatif dan bebas daripada sebarang jenis dadah,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, mahkamah membenarkan perintah reman selama tujuh hari hingga 18 Mac bagi siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis berhampiran, talian hotline polis Johor di 019-2792095 atau talian bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di 07-2212999,” katanya.

Semalam media melaporkan pemeriksaan awal mendapati mangsa berkemungkinan meninggal dunia antara jam 1.30 pagi hingga jam 4.30 pagi.

Terdapat 14 kesan tikaman di mangsa termasuk 11 kesan tikaman di dada serta masing-masing satu kesan tikaman di leher, jari telunjuk dan lengan kanannya.

Tiada ulasan: