Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my

Pasangan tersebut ditahan awal pagi semalam. FOTO Tangkap layar video JAIM
Melaka: Seorang lelaki yang masih berstatus suami orang tergamak mencemarkan kesucian bulan Ramadan apabila dicekup berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di sini, awal pagi semalam.
Perbuatan pasangan berkenaan terbongkar selepas sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menjalankan serbuan di premis tersebut.
Ketika disoal mengenai status hubungan, kedua-duanya mendakwa masih bujang malah lelaki terbabit turut memaklumkan bahawa dia sudah bercerai dengan isterinya.
Namun helah itu tidak berpanjangan, apabila semakan lanjut dibuat pihak berkuasa mendapati lelaki berkenaan sebenarnya masih berstatus suami orang.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang hubungan sah dan bukan suami isteri.
"Kedua-duanya ditahan di bawah kesalahan Seksyen 53 Enakmen Syariah Negeri Melaka kerana berkurung yang mendatangkan syak," kata pegawai penguatkuasa JAIM menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok dan tular di media sosial.
Rakaman berkenaan memaparkan situasi penguat kuasa jabatan itu mengetuk pintu bilik hotel berkenaan sebelum berjaya masuk ke dalam bilik yang disewa kedua-dua mereka.
Video itu juga menunjukkan kedua-dua individu tersebut berada di atas katil dalam keadaan lengkap berpakaian ketika serbuan dilakukan.
Pasangan terbabit kemudiannya dibawa ke pejabat JAIM bagi menjalani proses siasatan dan tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan