"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perlis 'tertanya-tanya' profesionalisme IGP

Malaysiakini 

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa dia berasa tertanya-tanya akan sikap Ketua Polis Negara (IGP) Mohd Khalid Ismail selepas pihak bekuasa mengesahkan mahu menangkap serta mendakwa Zamri Vinoth dan Tamim Dahri Abdul Razak.

Dalam hantaran di media sosial pagi ini, Mohd Asri berkata “majoriti umat Islam” sedang bimbang terhadap hala tuju negara terutama melibatkan isu yang terkait dengan kedua-dua individu terbabit.

Tindakan Mohd Khalid, dakwa Mohd Asri, menambah lagi persoalan berkenaan.

“Saya sendiri tertanya-tanya tentang sikap adil dan profesionalisme KPN (Ketua Polis Negara) dalam isu ini. Apatah lagi kita berada di negara Malaysia bukan di negara India.

“Apakah undang-undang kita hanya cengih (keras) untuk yang beragama Islam sahaja?” katanya lagi.

Malam tadi Mohd Khalid mengesahkan polis mahu menahan dan mendakwa kedua-dua individu yang terkait dengan ketegangan isu agama sejak akhir-akhir ini, khusunya melibatkan pembinaan kuil haram.

Kata pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, Zamri Vinoth – sebelum ini dilaporkan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif One Center Malaysia Perlis – dan Tamrin Dahri sudah meninggalkan negara ini dan berada di Thailand.

Bagaimanapun Mohd Khalid memberitahu PDRM sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi menahan dan membawa kedua-dua mereka kembali ke negara ini untuk didakwa di mahkamah.

Mohd Asri berkata dia berharap Mohd Khalid kira aspek keadilan terhadap umat Islam, profesionalisme, latar isu serta identiti negara.

“Negara ini memerlukan mereka yang jujur dan amanah khususnya dalam mengendalikan hal-hal keselamatan dan keadilan.

“Dalam bulan Ramadan ini marilah kita berdoa agar negara kita berada di bawah kepimpinan dan pengurusan yang adil serta menjaga identiti negara ini khususnya berkaitan agama dan umat ini,” katanya.

Mohd Asri turut menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan yang berlaku dan menyatakan pendirian dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan: