Alias Abd Rani

Penganggur dipenjara 30 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya. – Foto NSTP
MUAR: Seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya berusia 14 tahun.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 40 tahun selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta fakta kes yang diakuinya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa di sebuah rumah di kawasan tanah rancangan di Segamat antara 3 hingga 5 Oktober lalu, pada waktu petang dan malam.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Seksyen 14(b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan pada 6 Oktober lalu berhubung dakwaan seorang pelajar perempuan menjadi mangsa perbuatan seksual oleh bapa kandungnya.
Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika ibu tiri mangsa tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Perbuatan tertuduh terbongkar selepas mangsa enggan pulang ke rumah sebelum menceritakan kejadian itu kepada ibu tirinya.
Ibu tiri mangsa kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu kandung remaja itu supaya laporan polis dibuat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh tahanan serta pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan