NUZULSHAM SHAMSUDDIN

Empat tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini.
KAJANG – Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini kerana membunuh dan subahat membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui ditanam di Semenyih bulan lalu.
Keempat-empat tertuduh iaitu Asrul Siwi, 32, Amirul Maamur Rosli, 27, Amri Rizani Darus, 36, dan seorang lelaki warga Indonesia Rijal Haryono, 47, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Saira Banu Mohamed Ashrof Raja.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan membunuh, Asrul dan Amirul bersama-sama dengan tiga lagi yang masih bebas didakwa telah membunuh Mulialisman Nordi, 34, di sebuah lot Batu 28, Sungai Lalang Mukim Ulu Semenyih di sini antara pukul 4 pada 24 September lalu hingga 2 petang keesokan harinya.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Sementara untuk pertuduhan subahat membunuh, tertuduh Amri Rizani dan Rijal Haryono didakwa bersama dengan dua lagi yang telah dituduh serta dua lagi individu lain didakwa telah bersubahat dengan Asrul dan Amirul membunuh mangsa sama masing-masing dengan cara melarikan si mati dan mengasah cangkul pada waktu, tempat dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, pendakwaan terhadap Amri Rizani dan Rijal Hayono dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 yang turut memperuntukkan hukuman sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Disember ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki disyaki dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu dari hadapan sebuah bengkel kereta di Ampang Waterfront, Ampang Jaya.
Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an, dikenali sebagai Mulia dipercayai dilarikan oleh suspek dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Honda.
Mayat mangsa kemudian ditemui ditanam di satu kawasan di Semenyih. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan