MOHD SHARKAWI LONDING
KULAI – Polis tidak menolak kemungkinan kejadian balingan bom petrol atau molotov ke beberapa buah rumah di penempatan warga Rohingya di Kulai Besar di sini, awal pagi tadi, berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap dua video tular yang mencabar orang Melayu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian kebakaran itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada molotov yang dibaling ke beberapa buah rumah di kawasan penempatan berkenaan.
“Perbuatan itu mengakibatkan kebakaran kecil pada pagar rumah, namun api berjaya dipadamkan dan tiada kecederaan atau kerosakan lain dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian itu berkemungkinan dilakukan oleh individu yang tidak berpuas hati dengan dua hantaran video yang tular menerusi Facebook.
Video berkenaan memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya mencabar orang Melayu supaya datang ke kawasan Kulai.
Individu dalam video itu turut didakwa menggelarkan orang Melayu sebagai pengecut serta tidak berani memasuki kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, polis turut menerima satu laporan berhubung penyebaran video tular berkenaan.
Ab Rahaman berkata, setakat ini, seorang lelaki warga Rohingya berusia lingkungan 30-an tampil membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dalam kedua-dua video tersebut.
Lelaki itu mendakwa gambarnya telah disalahgunakan oleh individu lain untuk menghasilkan video berkenaan.
Menurut beliau, polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian itu, termasuk mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat membinasakan rumah.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) dan 505(c) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam serta mengapi-apikan sesuatu golongan atau kaum.
Selain itu, polis turut menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan