"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Pulau Pinang: Haram orang Islam bersih rumah ibadat agama lain

Malaysiakini



Jabatan Mufti Pulau Pinang hari ini berkongsi hantaran di media sosial yang menyebut adalah “Haram orang Islam bersih rumat ibadat agama lain”.

Ia seterusnya menyiarkan pautan mengenai kenyataan Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman yang dipetik berkata umat Islam perlu mengelak pembabitan dalam pembersihan rumah ibadat bukan Islam, selain menjauhi ritual keagamaan bertentangan dengan hukum syarak.

Laporan media itu menyebut Mohd Sukki sebagai berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya berbuat baik dan menjalinkan hubungan harmoni dengan masyarakat berlainan agama, namun setiap tindakan perlu berpandukan batas syariat.

“Kerja-kerja yang mempunyai hubungan langsung dengan penyediaan, pemeliharaan atau pengendalian tempat dan peralatan khusus bagi pelaksanaan ritual agama lain, seperti membersihkan patung sembahan, altar pemujaan atau menyediakan ruang khusus untuk upacara penyembahan, perlu dielakkan dan hukumnya adalah haram.

“Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud, ‘Dan janganlah kamu saling membantu dalam melakukan dosa dan pencerobohan’,” katanya di George Town, semalam.

Mohd Sukki mengulas hantaran video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu termasuk orang Islam bergotong-royong mencuci rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang.

Menerusi perkongsian dalam satu hantaran di Facebook, aktiviti gotong-royong pada 8 Oktober lalu dikatakan melibatkan kakitangan berbilang kaum daripada sebuah hotel di George Town, Pulau Pinang sempena penganjuran program tanggung jawab sosial korporat (CSR).

Mengulas lanjut, mufti itu berkata, memelihara akidah tidak bererti memusuhi penganut agama lain, malah Islam tidak mengajar umatnya menghina, memusuhi atau berlaku zalim terhadap penganut berkenaan.

"Menghormati agama lain tidak bermaksud seseorang Muslim perlu mengambil bahagian dalam urusan keagamaan mereka.

"Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun, ayat 6 bermaksud 'Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku' yang mana ia menegaskan prinsip pemisahan akidah dan ibadat di samping mengiktiraf kewujudan masyarakat berbeza pegangan agama.

"Sehubungan itu, mana-mana pertubuhan, institusi pendidikan, agensi kerajaan atau badan sukarela yang merancang program gotong-royong antara agama dinasihati supaya memberi perhatian kepada sensitiviti akidah umat Islam.

"Program perpaduan boleh dilaksana menerusi pelbagai aktiviti lain seperti membersih kawasan perumahan, taman awam, sekolah, rumah penduduk, kawasan rekreasi serta menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa," katanya lagi.

Tiada ulasan: