"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

6 diarah hadir prosiding hina mahkamah berkait kemelut diraja N Sembilan

V Anbalagan

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi mengarahkan empat undang dipertikaikan serta dua pembesar hadir di mahkamah bagi menghadapi dua prosiding menghina mahkamah terhadap mereka berhubung kemelut diraja Negeri Sembilan.

Hakim Roz Mawar Rozain mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin memulakan satu lagi prosiding menghina mahkamah terhadap enam individu terbabit.

“Anak guam anda mesti hadir kerana ini merupakan kes bersifat separa jenayah,” katanya sambil menetapkan 15 Dis sebagai tarikh pendengaran.

Enam individu itu ialah bekas undang Sungai Ujong Mubarak Dohak, bekas undang Jelebu Maarof Mat Rashad, bekas undang Rembau Abdul Rahim Yasin, Undang Johol Muhammed Abdullah, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan bekas shahbandar Sungai Ujong Badarudin Abdul Khalid.

Prosiding menghina mahkamah kedua ini berkaitan dakwaan enam individu terbabit mengelak menerima dokumen mahkamah, selepas Roz Mawar membenarkan DKU dan Raja Norazli memulakan prosiding komital (penghinaan mahkamah) yang pertama terhadap mereka pada 8 Julai lalu.

Pertikaian ini bermula 5 Mei lalu, apabila Mubarak dan lima individu lain memfailkan saman pemula bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lalu.

Minit mesyuarat itu merekodkan keputusan untuk melucutkan jawatan Mubarak sebagai undang Sungai Ujong.

Pada 5 Jun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi sementara bagi mengekalkan status quo, termasuk komposisi sedia ada DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai setiausahanya, sementara menunggu keputusan mengenai persoalan berkaitan bidang kuasa serta kebolehbicaraan kes itu.

Raja Norazli kemudian mendakwa laporan media menunjukkan plaintif, khususnya Maarof, terbabit dalam pelantikan yang didakwa sebagai Yang Dipertuan Besar “baharu” di bawah Perkara 11 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, walaupun injunksi itu masih berkuat kuasa.

DKU dan Raja Norazli seterusnya mendapat kebenaran untukmemulakan prosiding komital terhadap enam individu terbabit.

Pada 8 Julai lalu, Roz Mawar memutuskan terdapat kes prima facie bagi kesalahan menghina mahkamah dan memerintahkan enam individu itu menjawab dakwaan berkenaan.

Minggu lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan enam individu itu untuk menangguhkan prosiding pertama menghina mahkamah.

Panel tiga hakim berkata, pemohon gagal hadir di mahkamah dengan “niat bersih” dengan mengambil kira kegagalan mereka membuat pendedahan penuh dan telus berhubung prosiding lain yang difailkan di luar Mahkamah Tinggi Seremban.

Steven Thiru, Shafrin Halim, David Matthew, Gregory Das dan Gurjeevan Singh Sachdev mewakili DKU serta Raja Norazli dalam prosiding hari ini.

Zainuddin Omar mewakili Tunku Besar Tampin, manakala Asmawi Ismail dan Deidra Nur Azmi mewakili lima individu lain.

Tiada ulasan: