"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Tekong darat rempuh kenderaan PGA ketika cuba larikan diri ditahan

Sharifah Mahsinah Abdullah
KERETA jenis Honda Accord dengan nombor pendaftaran palsu ditahan bersama sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di Tumpat, pagi tadi.
KERETA jenis Honda Accord dengan nombor pendaftaran palsu ditahan bersama sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di Tumpat, pagi tadi.
Tumpat: Taktik agresif seorang lelaki tempatan merempuh kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak membuahkan hasil apabila dia ditahan bersama sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di Lorong Maut, Pengkalan Kubor, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suspek berusia 25 tahun yang mempunyai satu rekod jenayah lampau berjaya ditahan anggota PGA dari Batalion 7 di Lorong Maut, hasil maklumat orang awam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek memandu kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Suspek mengalami kecederaan pada lengan kanan selepas cermin hadapan kenderaan itu pecah dalam kejadian berkenaan.

"Kenderaan PGA turut mengalami kerosakan akibat pelanggaran itu," katanya.

Beliau berkata, sembilan PATI terbabit terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki, semuanya warga Myanmar.

"Siasatan awal mendapati kumpulan itu menaiki kenderaan berkenaan di Pantai Geting sebelum dibawa ke Lubok Jong, Pasir Mas.

"Dari Pasir Mas, mereka akan dihantar ke Selangor menggunakan pengangkutan lain," katanya.

Radzi berkata, suspek yang berasal dari Bunut Susu, Pasir Mas, bersama kesemua PATI terbabit berusia antara 18 hingga 34 tahun itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan: