"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nahas MPV, 3 sekeluarga maut

FMT Reporters

Seorang wanita dan dua kanak-kanak meninggal dunia dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru.
kemalangan tangkak
Timbalan Ketua Polis Tangkak, Jamellulkamal Abdul Halim, berkata MPV dinaiki dipercayai terbabas sebelum melanggar besi penghadang. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut, manakala tiga lain cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di KM159.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.

Timbalan Ketua Polis Tangkak, Jamellulkamal Abdul Halim, berkata nahas kira-kira 1.15 tengah hari itu berlaku ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas menghantar ahli keluarga ke sebuah universiti di Melaka.

Katanya, siasatan awal mendapati MPV itu dipercayai terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang.

“Kemalangan itu mengakibatkan tiga penumpang maut iaitu seorang wanita berusia 49 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, serta seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang duduk di bahagian belakang.

“Pemandu MPV bersama dua lagi penumpang yang cedera telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk mendapatkan rawatan,” katanya menurut Bernama.

Jamellulkamal berkata, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: