Suraya Roslan
suraya@mediaprima.com.my
Putrajaya: Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini memerintahkan pesalah remaja berusia 14 tahun ketika merogol anak saudaranya hingga mangsa melahirkan anak, ditempatkan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun.
Perintah itu berkuat kuasa hari ini selepas panel tiga hakim membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kangar yang mengekalkan perintah khidmat masyarakat terhadap responden yang kini berusia 19 tahun.
Pada 21 Februari 2024, Mahkamah Majistret Kangar memerintahkan responden menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan, selain diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama dua tahun.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersidang bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy, sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan dan menggantikan perintah itu dengan penempatan di Sekolah Henry Gurney.
Hayatul Akmal yang membacakan keputusan itu berkata, hukuman terdahulu tidak setimpal dengan keseriusan kesalahan dilakukan responden, malah Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengekalkan perintah berkenaan.
Beliau berkata, mangsa berusia 12 tahun ketika kejadian, manakala responden yang juga bapa saudaranya berusia 14 tahun.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di rumah neneknya di Kuala Perlis antara 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi, 14 Oktober 2021.
"Mangsa tidak menyedari kejadian itu dan apabila terjaga mendapati terdapat kesan cecair berlendir pada bahagian kakinya.
"Ibu mangsa membawa mangsa ke poliklinik pada 12 Mei 2022 selepas mendapati perutnya kelihatan membesar.
"Pemeriksaan mengesahkan mangsa mengandung lapan bulan ketika itu.
"Mangsa sendiri tidak mengetahui dirinya dirogol, malah tidak menyedari dia sedang mengandung. Siasatan kemudiannya mengenal pasti responden sebagai pelaku, manakala laporan kimia mengesahkan responden adalah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa," katanya.
Beliau berkata, keseriusan kesalahan itu tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan usia responden sebagai pesalah kanak-kanak, sebaliknya perlu mengambil kira usia mangsa, hubungan kekeluargaan serta akibat langsung perbuatan berkenaan.
Katanya, pengakuan salah responden juga tidak boleh dijadikan faktor utama dalam menentukan perintah yang sesuai, sebaliknya fakta kes dan keseriusan kesalahan perlu turut dipertimbangkan.
"Laporan akhlak dikemukakan juga hanya satu daripada faktor yang boleh dipertimbangkan dalam menentukan bentuk perintah terhadap pesalah kanak-kanak.
"Perintah khidmat masyarakat selama 120 jam tidak menggambarkan dengan secukupnya keseriusan kesalahan yang dilakukan," katanya.
Hayatul Akmal berkata, dalam kes yang mempunyai faktor pemberat luar biasa, prinsip pencegahan dan kepentingan awam sewajarnya diberikan pertimbangan lebih tinggi berbanding penekanan terhadap pendidikan serta pemulihan responden semata-mata.
"Ini bukan kesalahan jenayah biasa dan hukuman berbentuk pencegahan perlu dikenakan bagi menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata, walaupun perintah khidmat masyarakat itu sudah selesai dijalani, Mahkamah Rayuan masih mempunyai bidang kuasa untuk mengubah perintah berkenaan dan menggantikannya dengan perintah yang lebih setimpal.
"Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan responden ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun mengikut Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001, berkuat kuasa hari ini," katanya.
Pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 13 Disember 2024 yang mengekalkan perintah Mahkamah Majistret Kangar pada 21 Februari 2024.
Mengikut pertuduhan, responden yang juga bapa saudara mangsa melakukan persetubuhan dengan anak saudaranya berusia 12 tahun ketika mangsa sedang tidur di rumah nenek mereka di Kuala Perlis, pada 14 Oktober 2021.
Responden mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan