Malaysiakini
Kalangan pemerhati politik dan media hangat memperkatakan tentang identiti seorang Adun Pulau Pinang yang sedang disiasat polis kerana didakwa menyerang isterinya, dengan spekulasi semakin memuncak mengenai siapa individu yang terlibat dalam kes terbaru ini.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan terburu-buru sambil menyatakan bahawa perkara itu harus diserahkan kepada pihak polis.
Sementara itu, Fahmi Zainol daripada PKR - yang pernah terbabit dalam kes serupa tahun lalu - segera menjarakkan diri dengan menjelaskan kejadian berkenaan tidak ada kaitan dengan dirinya.
“Kes Adun Pulau Pinang terkini tu bukan saya,” katanya di media sosial.
Fahmi yang juga Adun Pantai Jerejak dan bekas exco itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, dalam kejadian didakwa berlaku pada 22 Feb lalu.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 10 malam di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Fahmi kemudiannya digantung daripada jawatan parti sementara menunggu kes mahkamah selesai, dan digugurkan daripada jawatannya exco.
Malaysiakini difahamkan bahawa insiden terbaru itu juga melibatkan seorang Adun PKR, namun identitinya tidak didedahkan sementara menunggu maklum balas terhadap pertanyaan yang diajukan.
Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan kenyataan daripada Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid, yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri I.
Dalam pada itu, Chow enggan mendedahkan butiran lanjut apabila ditanya mengenai perkara tersebut, sambil menegaskan bahawa pihak polis harus dibenarkan menjalankan siasatan mereka.
"Ini adalah siasatan polis yang sedang berjalan, jadi sebaiknya serahkan sahaja kepada mereka. Biarkan mereka mengendalikan kes ini," katanya seperti dilaporkan.
Apabila ditanya kedudukan Adun terbabit sama ada akan terus menjalankan tugasnya atau tidak, Chow berkata dalam kes-kes lain sebelum ini, ahli politik yang menghadapi prosiding mahkamah tetap meneruskan khidmat mereka.
Semalam, polis Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan daripada isteri seorang Adun yang mendakwa dirinya diserang oleh suaminya di kediaman mereka.
Ketua Polis Negeri, Dennis Lim Kwang Keng, berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Polis telah merakam keterangan daripada empat individu, termasuk suami dan isteri tersebut, dan setakat ini tiada tangkapan dibuat berhubung kes ini,” katanya seperti dipetik.
Lim turut menafikan dakwaan isteri ahli politik itu bahawa polis gagal mengambil tindakan terhadap laporannya.
Dia menegaskan bahawa pihak polis mengambil tindakan sewajarnya sebaik menerima laporan tersebut, serta akan mendapatkan pengesahan perubatan berhubung kecederaan yang didakwa dialami oleh wanita berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan