"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi batal kempen di Melaka, dipanggil ke Bukit Aman beri keterangan

Malaysiakini

Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli terpaksa membatalkan program kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka esok bagi memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaannya mengenai mafia korporat dan Naib Presiden PKR R Ramanan.

Bekas menteri ekonomi itu berkata dia menerima notis untuk hadir ke Bukit Aman pada jam 10 pagi esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan, masing-masing berkaitan fitnah jenayah dan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Saya menghormati bahawa pegawai-pegawai yang menyiasat menjalankan tugas mereka seperti yang diarahkan.

"Oleh itu, saya akan kembali ke Kuala Lumpur dan membatalkan acara kempen saya di Melaka di siang hari Selasa untuk hadir memberi keterangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rafizi, siasatan itu dibuka susulan laporan polis bertarikh 22 Okt berhubung ceramahnya di Selayang dua hari sebelumnya.

Katanya, notis polis itu merujuk kepada dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Ramanan serta isu berkaitan mafia korporat.

Rafizi sebelum ini mendakwa Ramanan menerima wang berkenaan sebagai rasuah untuk menyelesaikan kes yang dikaitkan dengan mafia korporat.

Dia berkata ceramah itu turut menyentuh dakwaan mengenai bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dihadapkan ke mahkamah.

‘Seksyen sama pernah digunakan terhadap saya'

Rafizi menyamakan siasatan terbaru itu dengan tindakan yang pernah dihadapinya ketika mendedahkan skandal 1MDB, Tabung Haji, Felda dan National Feedlot Corporation (NFC).

"Apa yang saya lalui sekarang ini tidak ubah seperti siasatan-siasatan dan dakwaan mahkamah terhadap saya semasa saya mendedahkan skandal 1MDB, Tabung Haji, Felda dan NFC dulu-dulu," katanya.

Dia berkata pernah disiasat mengikut Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan berhubung isu 1MDB dan Tabung Haji, selain Seksyen 504 kerana didakwa menghina Umno.

Rafizi mengingatkan bahawa dia dibebaskan oleh mahkamah dalam semua kes berkenaan, namun kini berdepan tindakan menggunakan peruntukan undang-undang yang sama di bawah kerajaan pimpinan PKR dan Pakatan Harapan.

"Kini, kerajaan yang diterajui PKR dan PH menggunakan seksyen yang sama di bawah Kanun Keseksaan untuk menakutkan saya setiap kali saya bersuara mengenai mafia korporat dan tuduhan terhadap R Ramanan," katanya.

Cabaran terhadap Ramanan

Dalam pada itu, Rafizi sekali lagi mencabar Ramanan, yang juga menteri sumber manusia, supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika benar-benar mahu membersihkan nama daripada dakwaan menerima rasuah RM9.5 juta.

Sebaliknya, Rafizi berkata dia sendiri telah memulakan tindakan saman terhadap Ramanan berhubung pertikaian tersebut.

Kontroversi itu tercetus susulan dakwaan ahli perniagaan Victor Chin bahawa seorang ahli parlimen PKR menerima RM9.5 juta bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan mafia korporat.

Ramanan sebelum ini menafikan penglibatannya dan menegaskan dia tidak mengenali atau pernah bertemu Chin, selain mencabar Rafizi mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Rafizi bagaimanapun menegaskan Bersama akan terus membangkitkan isu mafia korporat meskipun berdepan tekanan undang-undang.

"Saya percaya masa akan menunjukkan bahawa kami dari Bersama telah melaksanakan tanggungjawab membantu masyarakat membanteras mafia korporat tatkala parti-parti lain membisu, walaupun terpaksa berdepan dengan tekanan undang-undang seperti ini," katanya.

Tiada ulasan: