"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sidang DUN tanpa perkenan Yang di-Pertuan Besar bahayakan pentadbiran, Negeri Sembilan berisiko berdepan krisis perlembagaan

Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

Seremban: Perancangan Kerajaan Negeri Sembilan untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 26 November ini dalam keadaan ketiadaan barisan EXCO dan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dikhuatiri boleh mencetuskan krisis perlembagaan dan pentadbiran yang serius.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr Muhamad Fuad Abdul Karim berkata, daripada segi peraturan dan undang-undang, terdapat perbezaan yang amat ketara antara 'perasmian' dan 'perkenan'.

"DUN sememangnya boleh bersidang tanpa istiadat perasmian fizikal oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, malah ketiadaan titah diraja tidak menjejaskan keabsahan perjalanan dewan.

"Bagaimanapun, DUN sama sekali tidak boleh bersidang tanpa perkenan rasmi (instrumen pemanggilan) daripada Tuanku Muhriz. Tanpa pemanggilan rasmi ini, persidangan yang dirancang pada 26 November itu bukan sekadar 'tidak molek', malah ia tidak sah.

"Jika ia berlangsung, bermakna ini satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas rancangan kerajaan negeri untuk mengadakan Persidangan DUN Negeri Sembilan pada 26 November ini disusuli Pembentangan Belanjawan Negeri 2027, keesokannya.

Difahamkan, sehingga kini kerajaan negeri belum memperoleh perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mengadakan Sidang DUN.

Ini susulan tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersetuju proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz bertarikh 19 April 2026 adalah sah dan berkuat kuasa.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim ketika ditemui pemberita memaklumkan kerajaan negeri kekal dengan rancangan asal ditetapkan untuk mengadakan Persidangan DUN pada 26 November ini disusuli dengan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 sehari selepas itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan perkenan daripada Tuanku Muhriz bagi merasmikan persidangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhamad Fuad berpandangan, jika persidangan DUN dipaksa untuk diteruskan, ia tidak akan berjalan dengan baik dan akan mengalami kelumpuhan fungsi.

"Jika cukup korum persidangan (minimum dipenuhi) tapi tanpa kehadiran EXCO, proses eksekutif kerajaan negeri dikhuatiri tidak dapat dilaksanakan.

"Malah, pembentangan Belanjawan Negeri 2027 mungkin boleh terjejas kerana Menteri Besar tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk meluluskan dasar bajet secara bersendirian sebelum membawanya ke DUN," katanya.

Jelas beliau, sesi soal jawab (Q&A) akan gagal berfungsi secara normal apabila Menteri Besar terpaksa menjawab semua soalan merentas portfolio (seperti agama, perumahan, ekonomi, infrastruktur dan sebagainya) yang biasanya dipertanggungjawabkan kepada EXCO masing-masing.

Menurutnya, persidangan DUN tidak boleh dan tidak wajar diteruskan secara semberono.

"Justeru, saya berpandangan kerajaan negeri perlu menyelesaikan pelantikan struktur EXCO yang sah dan mematuhi tertib perlembagaan.

"Pihak berkenaan juga perlu memohon dan mendapat perkenan secara rasmi daripada Tuanku Muhriz sebelum sebarang notis persidangan dikeluarkan," katanya.

Tiada ulasan: